GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yun Mikail


KERAJAAN negeri menghargai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau melihat perkara itu berdasarkan perlembagaan negeri dan kepentingan untuk melindungi institusi Tuan Yang Terutama (TYT).

Beliau berkata, hak TYT untuk membubarkan DUN termaktub dalam perlembagaan negeri dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Alhamdulillah, kita bersyukur dengan usaha yang dilakukan dan kita amat menghargai keputusan itu berlandaskan dua perkara iaitu dari sudut undang-undang atau enakmen Sabah dan kedua melindungi institusi TYT.

"Hak membubarkan DUN bukan terletak pada mana-mana pihak, ia adalah kuasa mutlak TYT. Kita boleh cadang, minta tapi beliau yang luluskan. Jadi, saya amat menghargai keputusan dibuat pihak kehakiman dalam mendaulatkan undang –undang," katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dikemukakan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan terbabit sejurus selesai prosiding pendengaran hujah hari ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:53 PM