KAKITANGAN JKN Pahang menampal notis penutupan premis makanan di Cameron Highlands. FOTO Ihsan JKN Pahang
KAKITANGAN JKN Pahang menampal notis penutupan premis makanan di Cameron Highlands. FOTO Ihsan JKN Pahang
Asrol Awang

GAGAL mengutamakan kebersihan, sebanyak 17 premis makanan di Cameron Highlands diarah tutup.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, arahan penutupan premis tidak suci dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak memastikan premis dalam keadaan bersih.

Katanya, dalam Ops Caras Hijau Bersepadu Cameron Highlands 2020 itu, 29 kompaun yang keseluruhan berjumlah RM8,150 dikeluarkan terhadap pengusaha makanan dan pengusaha premis kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan dalam dua siri operasi pada 4 hingga 5 Ogos dan 10 hingga 11 Ogos lalu kerana Cameron Highlads sebagai tempat pelancongan dan menjadi tumpuan terutama pada cuti persekolahan.

"Cameron Highlands juga adalah pengeluar utama sayur dan buah di negara ini termasuk mengeksport ke luar negara seperti ke Singapura dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Bahari berkata, hasil daripada dua operasi itu, sebanyak 271 sampel sayur dan buah diambil dari 46 pusat pengumpulan sayur dan buah di sekitar daerah itu.

Katanya, kesemua sampel itu akan dihantar ke makmal untuk tujuan analisis residu racun perosak.

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang didapati mengedar atau menjual sayur dan buah yang mengandungi racun perosak melebihi tahap dibenarkan .

"Mengikut Peraturan 41 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta Makanan 1983, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 3,000 hektar kawasna pertanian di Cameron Highlands yang menghasilkan lebih 800 tan metrik sayuran dan buah-buahan sehari.

Justeru, katanya, adalah penting penggunaan racun perosak di peringkat ladang dikawal dengan baik untuk memastikan racun bagi tanaman tuaian adalah pada kadar yang dibenarkan.

"Penggunaan racun perosak yang tidak terkawal bagi mencegah serangan makhluk perosak adalah berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:51 PM