NIK Ezanee (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai barangan dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
NIK Ezanee (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai barangan dirampas pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan lapan penjenayah terbabit dua kes samun dan curi kenderaan di Seksyen 17 Petaling Jaya serta Damansara Damai, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kes pertama pada 6 Julai lalu membabitkan kecurian lori diparkir tepi jalan bersebelahan sebuah apartment di Damansara Damai.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menyerbu bengkel di Kampung Baru Kuang pada 1.45 tengah hari, 7 Ogos lalu.

"Ketika serbuan dilakukan suspek sedang meleraikan komponen lori dan polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia 22 hingga 37 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bengkel itu menemui sebuah lori dalam keadaan tidak sempurna, komponen lori, enam telefon bimbit dan peralatan meleraikan kenderaan.

"Semua suspek direman empat hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, bagi kes kedua, tiga lelaki berusia 27 hingga 36 tahun yang disyaki terbabit samun kereta Perodua Myvi ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan Taman Putra Damai pada 7 Ogos lalu.

"Kejadian berlaku pada 31 Julai apabila seorang wanita diserang dua suspek yang mengacukan spanar kepada mangsa sebelum melarikan kereta milik mangsa.

"Mangsa turut kehilangan beg tangan yang dilarikan bersama kenderaan itu.

"Bertindak atas maklumat itu, polis melakukan risikan dan menahan suspek menerusi serbuan berasingan antara 3.05 petang hingga 7.20 malam," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 6:48 PM