APMM menahan dua kapal tangki selepas dipercayai gagal mengemukakan dokumen insurans, di perairan Johor Timur, kira-kira jam 10.10 pagi semalam. FOTO IHSAN APMM Johor
APMM menahan dua kapal tangki selepas dipercayai gagal mengemukakan dokumen insurans, di perairan Johor Timur, kira-kira jam 10.10 pagi semalam. FOTO IHSAN APMM Johor
Nurul Amanina Suhaini


KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili menahan dua kapal tangki yang gagal mengemukakan dokumen insurans di perairan Johor Timur, jam 10.10 pagi semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, pihaknya mengesan kedua-dua kapal tangki itu sedang merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 8.9 batu nautika timur Tanjung Penawar.

Katanya, pemeriksaan mendapati satu daripada kapal tangki itu dikendalikan enam lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 47 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan lapan lelaki berusia 30 hingga 44 tahun.

"Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal ini didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea, namun gagal mengemukakan polisi insurans.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 361(1) dan Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, Seksyen 338A (3) kerana tiada dokumen berkaitan polisi insurans maritim serta Seksyen 491B(1)(l) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman Pengarah Laut.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM 500,000," katanya pada kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 3:49 PM