GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Balqis Jazimah Zahari


POLIS Perak sudah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang berlangsung bulan hadapan.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, anggotanya sudah melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang berada di DUN berkenaan.

"Kita memang sudah bersedia, kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang dijalani oleh anggota sebelum ini juga menjurus kepada persediaan kepada PRU atau PRK.

"Anggota sedia ada setakat ini mencukupi dan logistik juga bersedia bagi menentukan PRK ini dapat berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Razarudin berkata, persediaan juga termasuk dari aspek memastikan mereka yang terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Walaupun kita akan berhadapan dengan PRK tetapi pasukan untuk Covid-19 tetap akan diteruskan dan kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya.

"Ia bagi menentukan bahawa rantaian wabak Covid-19 ini tidak menjadi satu kluster baharu pula nanti," katanya

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon dan diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 3:29 PM