OPERASI mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang di laut sejak malam tadi diteruskan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh malam tadi. FOTO IHSAN APMM
OPERASI mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang di laut sejak malam tadi diteruskan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh malam tadi. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


"SAYA baru kenal mangsa semalam dan dia nak ikut saya serta seorang rakan keluar menangkap ikan pada 4 petang.

"Pada 9 malam tadi, dia beritahu saya nak tidur sat (sekejap) di belakang bot mungkin kerana sejuk dan kira-kira dua jam kemudian baru saya sedar dia hilang ketika hendak tarik pukat," kata Mat Habib Kasa, 60.

Mat Habib adalah tekong bot pukat tunda yang membawa dua lagi nelayan termasuk lelaki berusia 20-an yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika keluar menangkap ikan kira-kira 4.1 batu nautika utara di Pulau Payar, Langkawi, malam tadi.

Menurutnya, dia hanya memanggil mangsa dengan panggilan 'Adik' tetapi tidak tahu nama sebenarnya kerana baru kenal semalam.

"Dia nampak bersungguh-sungguh mahu kerja mungkin dia mempunyai pengalaman sebagai nelayan tapi saya belum kenal dia sepenuhnya.

"Dia menggantikan seorang lagi nelayan yang sedang bercuti tapi nasibnya kurang baik apabila masih hilang di laut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Habib berkata, sejurus menyedari mangsa hilang, dia dan rakannya tekad untuk mencarinya di sekitar kawasan itu walaupun cuaca gelap.

Katanya, mereka langsung tidak mendengar bunyi seperti objek terjatuh ke dalam laut kerana bunyi enjin yang kuat.

"Saya mengemudikan bot itu dan mempunyai beberapa pusingan di tengah laut untuk mengesan kedudukan mangsa sehingga 4 pagi tadi tetapi tidak jumpa.

"Kira-kira 7 pagi tadi kami cuba membuat pusingan di lokasi sama tetapi langsung tiada petanda menyebabkan kami memaklumkan kepada pihak Maritim Malaysia untuk membantu," katanya.

Mat Habib berkata, mangsa juga ada memberitahu yang dia mahu balik ke rumah sebelum kejadian berlaku.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 9.30 pagi.

Beliau berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan dipercayai lelaki warga tempatan berusia awal 20-an.

"Mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama dua lagi nelayan dengan menaiki sebuah bot pukat tunda malam tadi.

"Bagaimanapun, mangsa disedari hilang pada jam 8.50 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sektor pencarian meliputi kawasan seluas 25 batu nautika.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:49 PM