Rosyahaida Abdullah


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi syarikat konsesi lebuh raya pertama di dunia menerima Anugerah Emas dalam AMEC Awards 2020 di United Kingdom, baru-baru ini.

Anugerah itu diraih bersama Isentia selaku syarikat pemantauan media yang dilantik serta bertindak sebagai pihak bertanggungjawab mencalonkan PLUS untuk menyertai pemilihan dalam anugerah itu.

Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, menerusi program pengukuran keberkesanan komunikasi global terbabit, PLUS dinobatkan Anugerah Emas bagi kategori Pengurusan Krisis dan Reputasi.

"Secara umumnya, anugerah ini mengukur kejayaan program yang diperkenalkan pelanggan syarikat pemantauan media antaranya dari segi impak positif yang terhasil dalam hubungan pelanggan dengan rakyat, kerajaan, rakan kongsi dan sebagainya selain kebolehupayaan kita menguruskan situasi dan krisis dengan baik.

"Isentia ada memaklumkan kepada kami mengenai perancangan mereka untuk mencalonkan PLUS selaku antara pelanggan mereka dari Malaysia bagi anugerah ini dan diminta menyediakan beberapa perkara untuk penjurian.

"Tentunya kami tidak meletakkan apa-apa harapan pada peringkat awal memandangkan ini kali pertama PLUS menyertainya malah difahamkan AMEC juga memiliki ahli daripada 86 negara yang pasti memberi persaingan sengit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, apabila dimaklumkan oleh Isentia mengenai pengiktirafan itu beberapa hari lalu, ia menjadi permulaan yang baik untuk PLUS terus mempertingkatkan kualiti dan kredibiliti syarikat bagi memastikan kejayaan lebih baik dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.

Untuk rekod, AMEC Awards adalah program anugerah tahunan anjuran badan antarabangsa iaitu Persatuan Antarabangsa Bagi Pengukuran dan Penilaian Komunikasi yang mengiktiraf syarikat dalam pelbagai aspek khususnya komunikasi.

Penyertaan bagi anugerah itu kebiasaannya diuruskan syarikat pemantauan media yang dilantik setiap syarikat.

Berbanding penganjuran besar-besaran, pada tahun ini AMEC Awards dilaksanakan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 3:03 PM