MUHYIDDIN (tengah) melafazkan ikrar Rukun Negara diiringi diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Setem khas Rukun Negara. FOTO Bernama.
MUHYIDDIN (tengah) melafazkan ikrar Rukun Negara diiringi diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Setem khas Rukun Negara. FOTO Bernama.
BERNAMA

TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin masyarakat negara ini akan menjadi masyarakat yang paling harmoni dan bersatu-padu di dunia sekiranya prinsip Rukun Negara berhubung kesopanan dan kesusilaan dihayati dalam pergaulan seharian, baik secara fizikal atau secara maya di media sosial.

"Jika kita semua bersopan, bertata susila, beradab dan berbudi bahasa dalam pergaulan seharian, baik secara fizikal atau secara maya di media sosial, saya yakin masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang paling harmoni dan bersatu-padu di dunia.

"Masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bersopan dan bertatasusila; beradap; kaya dengan budi bahasa, bertimbang rasa; dan berpekerti mulia," katanya semasa melancarkan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak mudah mengeluarkan kata-kata kesat atau melakukan perbuatan yang tidak senonoh sehingga menyinggung atau menghina perasaan orang lain.

"Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap biadab. Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap tidak bertimbang rasa," katanya.

Sambutan berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, dan disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.

Selain Kesopanan dan Kesusilaan, empat lagi prinsip Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Perdana Menteri berkata, prinsip itulah yang memberi makna amat mendalam kepada rakyat Malaysia dalam membentuk jati diri, menjadi asas identiti diri dan penyatuan setiap individu bergelar bangsa Malaysia tidak kira kaum, agama dan warna kulit.

Mengajak kesemua rakyat memperteguhkan iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip falsafah negara itu, Muhyiddin berkata, penghayatan dan pengamalannya sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar.

"Yang penting ialah kita mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat menerusi amalan prinsip dan nilai murni yang terkandung di dalam Rukun Negara," katanya.

Muhyiddin berkata, prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan dalam masyarakat dan diwarisi dari satu generasi ke generasi.

"Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian.

"Tidak kiralah sama ada anda seorang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana kaum dan suku kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warga negara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda miliki," katanya.

Muhyiddin berkata, perpaduan antara rakyat sehingga kini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan ia seharusnya menjadi panduan rakyat dalam mengharungi masa hadapan, ke arah menghadapi dunia tanpa sempadan yang sering menguji keharmonian antara kaum.

Beliau juga menyentuh mengenai pada masa-masa lalu, pihak berkuasa menerima banyak laporan mengenai perbuatan atau perkataan yang dipaparkan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter yang kadang kala menyinggung perasaan masyarakat lain.

"Walaupun siasatan dijalankan dan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang, namun perbuatan sedemikian meninggalkan kesan luka yang mendalam ke atas perpaduan dan keharmonian masyarakat kita.

"Saya percaya keadaan ini, boleh kita elakkan jika kita mengamalkan prinsip Rukun Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:52 PM