AMIR HAMZAH AZIZAN
AMIR HAMZAH AZIZAN
BERNAMA

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menyokong keputusan kerajaan untuk melaraskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Langkah ini akan memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada harga elektrik telus dan saksama.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, syarikat itu menyokong keputusan untuk meneruskan ICPT, yang merupakan satu mekanisme begitu bermanfaat kepada industri sejak 2014 dan kekal relevan dalam persekitaran harga bahan api tidak menentu.

"Sebagai sebuah syarikat utiliti, TNB dikawal selia Suruhanjaya Tenaga (ST) dan beroperasi dalam persekitaran terkawal termasuk oleh mekanisme ICPT.

"Seperti ditetapkan keputusan ST menerusi ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api serta lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan, " katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

ST hari ini mengumumkan pelanjutan ICPT untuk enam bulan berakhir 31 Disember 2020 dengan pengurangan ICPT daripada kadar surcaj 2.00 sen/kWh kepada 0.00 sen/kWh.

Sebagai badan pengawal selia industri tenaga negara, ST menentukan pengiraan dan metodologi ICPT untuk tempoh setiap enam bulan, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Amir Hamzah ketika mengulas mengenai pengurangan ICPT berkata, ia mencerminkan penurunan sebenar harga bahan api global bagi tempoh enam bulan lalu.

Untuk tempoh Januari hingga Jun 2020, kos bahan api jatuh sejajar dengan penurunan harga bahan api sebenar di bawah penanda aras harga bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas untuk Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) bermula 2018 hingga 2020.

Purata harga arang batu sebenar (ACP) pada Januari hingga Jun 2020 berada pada US$69.5/MT berbanding dengan harga penanda aras barang batu yang ditetapkan dalam tarif asas pada US$75/MT, manakala harga gas bagi tempoh sama ialah RM26.6/mmBTU iaitu lebih rendah daripada harga penanda aras yang ditetapkan dalam tarif asas sebanyak RM27.20/mmBTU.

"Perubahan harga bahan api tidak dipaparkan serta-merta dalam tarif kepada pengguna kerana terdapat perbezaan masa kira-kira sembilan bulan di antara pergerakan harga bahan api dan tempoh sebenar pergerakan yang memberi kesan kepada sektor tenaga.

"Ini bermakna apabila harga bahan api rendah, pengguna hanya mendapat manfaat daripada pelepasan kos bahan api dengan mendapat tarif lebih rendah bermula 12 bulan kemudian.

"Begitu juga, jika harga bahan api adalah tinggi, ia akan hanya memberi kesan kepada pengguna kemudian, lantas memberi peluang untuk sistem melakukan penyesuaian," katanya.

Bagaimanapun, dalam kerangka industri dikawal selia, TNB sebagai syarikat utiliti utama terus komited untuk memastikan pelanggannya mendapat bekalan elektrik yang stabil termasuk perkhidmatan pelanggan yang bertaraf dunia, dan kekal kukuh dalam usaha menerangi kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 6:24 PM