Hazira Ahmad Zaidi


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan pemuda ini yang terlantar sejak 13 tahun lalu selepas tumor di bahagian kanan mukanya semakin membesar.

Ibu tunggal, Norma Mahmood, 62, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik, Mohammad Hakimi Hakim Mohd Sukri, 26, itu mengalami cacat kekal dan hilang upaya selepas menghidap Neurofibromatosis (sejenis penyakit saraf) selain mempunyai lebihan air di kepalanya.

Norma berkata, selepas anaknya itu dilahirkan, doktor mengesan terdapat biji kecil di bahagian kelopak mata kanan Mohammad Hakimi Hakim.

Bimbang dengan keadaannya yang masih bayi pada ketika itu, dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan daripada beberapa ujian yang dilakukan mengesan terdapat lebihan air di dalam kepalanya.

"Disebabkan lebih air di kepala, mata sebelah kanan Hakimi tidak lagi berfungsi dan lama-kelamaan biji matanya tersembul keluar menyebabkan ketika berusia tiga bulan, Hakimi terpaksa menjalani pembedahan membuang kesemua mata kanannya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Walaupun pada ketika itu hati mak cik berasa berat dan sedih memikirkan keadaan Hakimi yang masih kecil hilang penglihatan sebelah kanan, namun mahu atau tidak pembedahan itu terpaksa dilakukan juga kerana bimbang ia memberi kesan kepada mata sebelah kirinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Besar, Che Latiff, di Kota Bharu, semalam.

Katanya, selepas menjalani pembedahan itu, anaknya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain selama beberapa tahun sebelum dia sekali lagi perlu menjalani pembedahan membuang lebihan air di kepala ketika berusia tujuh tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Seingat mak cik, waktu itu, Hakimi hanya sempat belajar di Tahun Satu selama empat bulan sahaja sebelum bahagian kanan mukanya semakin membengkak dan pada Julai 2007, dia secara tiba-tiba hilang keseimbangan badan apabila tidak mampu berdiri dan hanya terlantar sepanjang masa.

"Melalui ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan ke atas Hakimi di HUSM mendapati lebihan air di kepalanya turun ke bahagian tulang belakang yang menyebabkannya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

"Kini tumor di bahagian kanan muka Hakimi juga semakin membesar dan dianggarkan seberat lima kilogram (kg) dan menyebabkan Hakimi terpaksa tidur mengiring sebelah kanan badan sepanjang masa.

"Lebih menyedihkan lagi, Hakimi juga kerap diserang penyakit sawan iaitu sehingga menyebabkan kedua kaki dan tangannya menjadi bengkok. Pada masa sama, Hakimi perlu bergantung kepada ubat sawan yang diberikan dua kali sehari," katanya.

Norma berkata, sejak anaknya itu terlantar, dia terpaksa berhenti kerja kerana perlu menguruskan keperluan Hakimi dari menukarkan lampin pakai buang, memberi makan dan minum serta mengelap badannya.

"Sebelum ini mak cik melakukan pelbagai pekerjaan iaitu menjadi tukang cuci di sekolah, pembantu kedai makan dan pembantu rumah untuk menyara kehidupan, tetapi kini setiap bulan mak cik hanya bergantung kepada bantuan bulanan yang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan yang diperolehi Hakimi dan juga anak kedua, Mohd Azam Hidayat, 29, selain sumbangan individu yang prihatin.

"Dua lagi anak mak cik juga turut membantu namun sekadar termampu kerana anak sulung, Mohd Khairul Muizudin, 30, bekerja di Kuala Lumpur dan sudah berumah tangga, manakala anak kedua, Mohd Azam Hidayat hanya bekerja kampung dan pada masa sama dia juga sakit kerana mempunyai ketumbuhan di kepala dan perlu berulang ke hospital," katanya.

Katanya, walaupun anaknya kelihatan reda menerima takdir dengan keadaan dirinya sekarang, namun setiap kali menatap wajahnya, dia tidak dapat menahan sebak.

"Selagi bernafas, mak cik tidak akan sesekali berputus asa menjaga Hakimi yang terlantar biarpun mak cik sendiri menanggung derita masalah usus dan perlu berulang ke hospital untuk rawatan susulan setiap tiga bulan sekali," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03-036-02-016074-4 atas nama Norma Mahmood atau boleh menghubunginya di talian 016-3385974.

MOHAMMAD Hakimi Hakim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHAMMAD Hakimi Hakim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 9:46 AM