FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norzamira Che Noh


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan melaksanakan Kursus Praperkahwinan Islam (KPPI) secara atas talian susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, KPPI itu dibuat selaras dengan pembudayaan norma baharu menghadapi pandemik Covid-19.

"KPPI atas talian ini dilaksanakan bermula 13 Jun dan diadakan sepanjang PKPB serta enam bulan selepas PKPB tamat.

"Modul KPPI ini berasaskan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) versi empat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepenuhnya. Permohonan boleh dibuat pada 9 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan KPPI adalah dengan membuat permohonan menerusi pautan yang disediakan mengikut daerah.

Katanya, jumlah maksimum penyertaan peserta dalam setiap sesi penganjuran KPPI adalah seramai 150 orang.

"Dua sesi penganjuran pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) akan dibuat mengikut keperluan. Sesi pertama bermula 8 pagi sehingga 12 tengah hari, manakala sesi kedua bermula 2 sehingga 6 petang.

"Peserta akan menerima jemputan melalui e-mel untuk menyertai KPPI. Selepas masuk ke platform KPPI, peserta perlu mengikuti langkah yang sudah dinyatakan sehingga selesai dalam tempoh masa diberikan," katanya.

Mohd Shahzihan berkata, sijil hanya akan diberikan kepada peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan diberikan.

Beliau berkata, sijil dan nota KPPI boleh diambil di kaunter yang mana pendaftaran dibuat berserta pembayaran yuran ditetapkan.

Menurutnya, transaksi serah terima sijil, nota KPPI dan pembayaran yuran hendaklah dibuat selepas lima hari bekerja dan tidak melewati 30 hari bekerja selepas peserta berjaya menyelesaikan tugasan KPPI.

"Tatacara lengkap berkaitan pelaksanaan KPPI boleh dirujuk kepada garis panduan yang dimuat naik di www.jais.gov.my, Facebook (FB) Jabatan Agama Islam Selangor dan Instagram jabatan.agama.islam.selangor.

"Pada awal penganjuran KPPI, JAIS akan mengutamakan peserta yang sudah mendaftar dan membuat pembayaran yuran penyertaan bagi menghadiri KPPI yang tertangguh sejak 18 Mac lalu.

"JAIS berharap semua bakal peserta KPPI bersabar, bertenang dan meneliti semua proses ditetapkan serta menghubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga di talian 017-949 2634 mulai 9 Jun ini untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan perkara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 5:52 PM