DR ISMAIL  menyampaikan sumbangan barangan hari raya kepada 100 ibu tunggal  bagi Parlimen Maran di  Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran. FOTO ROSELAN AB MALEK
DR ISMAIL menyampaikan sumbangan barangan hari raya kepada 100 ibu tunggal bagi Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran. FOTO ROSELAN AB MALEK

H: Bomba turut pantau lebuh raya

Roselan Ab Malek

[email protected]

Foto Roselan Ab Malek

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan anggotanya di beberapa lokasi lebuh raya seluruh negara menerusi Ops Lancar sejak semalam bagi memastikan perjalanan orang ramai lancar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, sebagai petugas barisan hadapan, mereka bersiap sedia 24 jam sehari jika berlaku kejadian tidak diingini pada Aidilfitri ini.

Katanya, pihak JBPM akan sentiasa bersedia di lebuh raya menerusi pasukan Emergency Response Team (ERT).

"Pasukan ini bertugas 24 jam sehari mengikut shif bermula dari 21 Mei sehingga 27 Mei ini membabitkan tujuh lokasi plaza tol utama.

"Ia termasuk di Plaza Tol Juru, Plaza Tol Hutan Kampung, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Skudai, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Gambang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 100 ibu tunggal di Maran, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, JBPM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Katanya, walaupun jumlah kenderaan di lebuh raya berkurangan kerana tidak boleh merentas negeri, tetapi JBPM tetap bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:21 PM