NUR Raidah Asyrani Sakka (kiri) dan Siti Zaliha Hairani (kanan) akur jalani kuarantin, hargai jasa "barisan hadapan". FOTO Abdul Rahemang Taiming
NUR Raidah Asyrani Sakka (kiri) dan Siti Zaliha Hairani (kanan) akur jalani kuarantin, hargai jasa "barisan hadapan". FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


"WALAUPUN berat hati, namun demi kebaikan bersama, saya tiada masalah untuk menjalani kuarantin 14 hari di sini," kata Nur Raidah Asyrani Sakka, 22, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pahang.

Nur Raidah antara 135 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang baru pulang dari Semenanjung dan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bermula hari ini.

Penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Optometri itu berkata, keputusan untuk pulang ke kampung dibuat kerana yakin dengan kemampuan serta kesungguhan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani Covid-19.

"Sebagai balasan atas kesungguhan petugas ini, mengapa tidak kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menjalani kuarantin ini," katanya yang berasal dari Taman Kuhara Indah dekat sini.

Rakannya, Siti Zaliha Hairani, 22, berpendapat, isu penuntut IPT ingkar atau melanggar perintah kuarantin tidak sepatutnya berlaku.

"Saya tidak bersetuju dengan tindakan terbabit, saya percaya ia dilakukan oleh segelintir penuntut namun boleh memberi imej buruk terhadap penuntut IPT lain," katanya yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Matematik di UIAM Kampus Pahang.

Siti Zaliha turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan universiti, yang menyelaras perjalanan pulang semua penuntut IPT ke kampung halaman masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:41 PM