Pegawai Perkeso sambil disaksikan Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin (duduk empat kiri) melakukan proses dokumentasi ketika mengunjungi Azlan di kediamannya di Pangsapuri  Ladang Tok Pelam. FOTO ZAID SALIM
Pegawai Perkeso sambil disaksikan Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin (duduk empat kiri) melakukan proses dokumentasi ketika mengunjungi Azlan di kediamannya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


HANYA ucapan terima kasih yang mampu diucapkan pesakit gout dan buah pinggang kronik ketika menerima sumbangan lampin pakai buang dan tilam angin daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Akibat penyakit itu, Azlan Bahrum, 36 yang juga bekas jurugambar Utusan Malaysia cawangan Terengganu, kini terlantar dan tidak boleh mengurus diri kerana sukar bergerak berikutan sendinya yang semakin membengkak.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya akan berusaha memberikan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban keluarga yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan isteri yang juga kakitangan sebuah akhbar di negeri ini.

"Selain sumbangan tilam angin dan lampin pakai buang yang diberikan secara berkala, kita juga akan menyelesaikan bantuan pencen ilat yang kini masih dalam proses," katanya ketika mengunjungi kediaman Azlan bersama Skuad Perkeso Prihatin di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, berdasarkan penilaian yang dibuat pihaknya, bapa kepada tiga anak, Muhammad Aqif Rayyan, 7, Awatif Nur Adawiyah, 6, dan Awfiyah Nur Umairah, 4 tahun memerlukan sesi pemulihan terlebih dahulu bagi memastikan fungsi badannya bertambah baik dan aktiviti harian dapat dilakukan selepas ini.

"Kami memang sedia maklum mengenai penyakit yang dihidapinya dan bantuan faedah juga sudah diberikan kepadanya sebelum ini termasuk bayaran Faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang kini memasuki proses bayaran kali kedua.

"Kami mendapat maklumat keadaan terkini pesakit pengamal media dan kita lihat Azlan hanya mampu terbaring kerana kesihatannya yang semakin merosot," katanya.

Farihah berkata, bagi membolehkan dia kembali sihat dan mampu menguruskan diri, Perkeso akan mengatur beberapa langkah proses pemulihan yang perlu memakan masa yang agak lama.

"Walaupun ia akan mengambil masa, kita ada pegawai pemulihan yang akan membantu dan melihat balik keperluannya bagi membolehkan dia kembali sihat dan masuk semula ke pasaran kerja.

Sementara itu, isteri Azlan, Norhaspida Yatim, 34, melahirkan kesyukuran di atas keprihatinan Perkeso yang segera memberikan bantuan kepada keluarganya.

"Terima kasih kepada Perkeso yang begitu prihatin dan mempermudahkan urusan kami.

"Saya pada mulanya buntu kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diberikan memandangkan saya bekerja.

"Mujurlah rakan-rakan banyak membantu menguruskan Azlan kerana kudrat saya tidak kuat untuk mengangkatnya, ada juga yang sanggup menjaga anak-anak kami ketika saya terpaksa menjaganya di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 8:40 PM