GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

SELANGOR mencatatkan peningkatan dalam jumlah kes jenayah siber membabitkan kerugian mencecah RM6.7 juta sejak 1 April hingga semalam.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah kerugian yang dicatatkan itu membabitkan 249 kes yang diterima.

"Pada tempoh yang sama tahun lalu, jenayah siber merekodkan sejumlah 193 kes dengan kerugian sebanyak RM14.4 juta kerugian.

"Jika dibandingkan, jumlah kes ini menunjukkan peningkatan tetapi nilai kerugian menurun kerana membabitkan kes kecil," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurutnya, jenayah siber adalah satu daripada jenayah 'scam' selain daripada jenayah pemalsuan, korporat, kewangan serta sindiket.

Katanya, hanya jenayah siber mengalami peningkatan dalam jumlah kes bagi tempoh itu.

"Peningkatan itu berlaku susulan peningkatan dalam pembelian secara dalam talian kerana pembelian secara fizikal sukar dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika PKP, hampir kesemua masyarakat berada di rumah dengan membuat pembelian secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, seramai 4,555 individu termasuk 1,867 warga asing ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor sejak 18 Mac sehingga semalam.

Menurutnya, seramai 1,161 individu sudah didakwa di mahkamah.

"Sepanjang tempoh itu juga, polis menerima 3,267 laporan berkaitan PKP dan 2,136 kertas siasatan sudah dibuka setakat ini.

"Selain itu, sebanyak 99 jumlah sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan bagi tempoh 24 jam di sekitar Selangor dan 2,620 pemeriksaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:06 PM