TIGA lelaki diberkas kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memiliki dadah. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin Sabah
TIGA lelaki diberkas kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memiliki dadah. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin Sabah
Hazsyah Abdul Rahman


BUKAN sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiga lelaki yang ditahan di Sungai Ambuai di sini, semalam turut memilik dadah.

Tiga warga tempatan berusia 29 hingga 50 tahun itu ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah kira-kira jam 11.30 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggota sedang menjalankan rondaan terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Sungai Ambuai.

Menurutnya, ketika diperiksa semua suspek gagal mengemukakan sebab munasabah berada di lokasi terbabit.

“Mereka ditahan kerana melanggar PKP dan pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lut sinar berisi hablur jernih disyaki dadah, dua gulung kecil kertas aluminium dan satu penyedut minuman di dalam kotak rokok.

“Suspek bersama barangan rampasan dianggarkan bernilai RM11,820 berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 1:09 PM