SAFAR (dua dari kanan) menerima sekotak topeng muka sebagai simbolik penyerahan bekalan perubatan sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Konsulat China Kepada Kerajaan Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Yun Mikail
SAFAR (dua dari kanan) menerima sekotak topeng muka sebagai simbolik penyerahan bekalan perubatan sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Konsulat China Kepada Kerajaan Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail

KERAJAAN negeri belum menerima sebarang permohonan baharu daripada rakyat negeri itu yang masih terkandas di Indonesia.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, pihaknya serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan mempertimbangkan jika terdapat sebarang permohonan selepas ini.

"Kita akan memberikan kebenaran khas untuk baki rakyat Sabah di sana, namun tertakluk kepada permohonan yang diterima.

"Sebenarnya, permohonan yang dikemukakan bagi kemasukan ke negeri ini pada 7 April lalu adalah kebenaran untuk 123 orang.

"Bagaimanapun, hanya 98 individu membabitkan 87 warga negara Malaysia serta 11 warga negara Indonesia pemegang Pas Jangka Panjang menaiki feri khas MV Labuan Expres yang selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT).

"Kita difahamkan, baki 25 rakyat Malaysia di negara berkenaan tidak sempat menaiki kapal disediakan berikutan terkandas di kawasan lain," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Konsulat China Kepada Kerajaan Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Kerajaan negeri menerima 52,000 helai topeng muka, 1,000 helai peralatan perlindungan diri (PPE) dan 200 pasang sarung tangan.

Sumbangan terbabit disampaikan oleh Konsul Jeneral Republik Rakyat China Kota Kinabalu, Liang Caide.

Pemberian terbabit bertujuan sebagai sokongan ke atas petugas barisan hadapan, khususnya anggota perubatan selain tanda sokongan kepada kerajaan negeri yang berusaha membendung penularan wabak Covid-19.

Safar berkata, jika ada sebarang permohonan baharu dalam kalangan baki rakyat Malaysia di sana, mereka perlu memohon melalui JIM Sabah sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

Menurutnya, semua permohonan haruslah disertakan nama setiap individu untuk memudahkan proses kelulusan pemberian kebenaran khas.

Dalam pada itu, beliau menyatakan semua rakyat Malaysia yang tiba daripada Nunukan, baru-baru ini kini masih berada di pusat kuarantin selama 14 hari.

"Setibanya di jeti, mereka terus dibawa menggunakan kenderaan disediakan supaya tidak ada sebarang kontak bersama orang luar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:04 PM