MOHD Ali Mansor. FOTO Adnan Ibrahim
MOHD Ali Mansor. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“JIKA ada penumpang telefon, maka adalah pendapatan,” kata Mohd Ali Mansor, 58, pemandu teksi di Hentian Teksi Kluang.

Menurut Mohd Ali, dalam seminggu jika bernasib baik dia mendapat antara dua hingga tiga penumpang sahaja dengan pendapatan kira-kira RM50.

Katanya, keadaan itu amat memeritkan bagi dirinya apatah lagi duit simpanan semakin susut walaupun sudah berjimat cermat.

“Inilah nasib pemandu teksi yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini apatah lagi dengan pendapatan yang tidak sampai RM50 seminggu.

“Tiada apa-apa lagi yang boleh kami lakukan ketika ini kecuali mengharapkan BPN (Bantuan Prihatin Negara) serta peruntukkan ‘one off’ kepada pemandu teksi dikreditkan segera bagi memastikan keluarga tidak terputus bekalan makanan,” katanya.

Menurut Mohd Ali, bukan mereka tidak mahu keluar ke hentian teksi tetapi jika terpaksa menunggu antara empat hingga lima jam untuk mendapat seorang penumpang, ia adalah satu pekerjaan yang sia-sia.

“Untuk itu, lebih baik kami tinggal di rumah dan mengharapkan ada penumpang yang menghubungi untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kluang, Mustakim Jalil. FOTO Adnan Ibrahim
PENGERUSI Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kluang, Mustakim Jalil. FOTO Adnan Ibrahim

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Daerah Kluang, Mustakim Jalil berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan duit tabung dengan menyumbangkan sebanyak RM40 untuk setiap ahli.

“Seramai 145 ahli persatuan ini amat terkesan dengan PKP kerana orang ramai tidak berani untuk keluar rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 11:11 AM