PETUGAS mengedarkan pek barangan dapur. FOTO Ihsan Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care)
PETUGAS mengedarkan pek barangan dapur. FOTO Ihsan Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care)
Hazira Ahmad Zaidi


KELAB Sukarelawan (Volunteer i Care), mengagihkan 70 pek barangan dapur dalam Program Pek Makanan Drive Thru (pandu lalu) kepada golongan asnaf di sekitar Kota Bharu yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, projek itu adalah usaha sama Kelab Volunteer I care dengan sebuah portal, Kita Fund.com yang sebelum ini banyak terbabit dalam projek kebajikan.

Menurutnya, agihan yang dilakukan itu mendapat sambutan golongan asnaf dan pada peringkat ini mereka menyasarkan 200 penerima namun ia akan bergantung kepada keadaan semasa.

“Pek makanan ini mengandungi keperluan asas seperti telur, beras, bihun, susu, sardin, teh, gula, gandum, biskut dan mi segera. Asnaf yang terpilih menerima pek makanan ini terdiri daripada mereka yang tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan harian.

“Sepanjang tempoh PKP mereka tidak boleh keluar mencari rezeki seperti kebiasaannya dan pihak kami berharap barangan keperluan asas yang diberikan ini dapat menampung keperluan mereka yang memerlukan,” katanya.

Tambah beliau lagi terdapat beberapa kumpulan mereka yang masuk ke kampung untuk mengagihkan pek makanan ini di pintu rumah penerima yang tidak sihat serta tidak mampu bergerak.

Menurutnya, dalam masa sama pihaknya menyasarkan untuk menyediakan makanan kepada petugas ‘front liner’ di hospital berdekatan yang bertungkus lumus menangani penularan wabak Covid-19.

“Pihak kami juga mengalu-alukan mana-mana syarikat atau individu yang ingin menyumbang untuk agihan Pek Makanan Drive Thru ini kepada golongan memerlukan sepanjang tempoh PKP.

“Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi bendahari Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care), Saripah Ismail di talian 0179731194,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 5:02 PM