SEBAHAGIAN jemaah umrah Indonesia yang terkandas di KLIA. FOTO Samadi Ahmad.
SEBAHAGIAN jemaah umrah Indonesia yang terkandas di KLIA. FOTO Samadi Ahmad.
BERNAMA

MISI diplomatik Malaysia sedang membantu ratusan rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat larangan perjalanan ekoran wabak novel koronavirus (Covid-19).

Kira-kira 200 rakyat Malaysia terkandas di selatan India dan 73 lagi di New Delhi sedang berusaha mendapatkan tiket pulang, menurut diplomat Malaysia dan beberapa sumber lain kepada Bernama.

Pelancong Malaysia terkandas selepas Kerajaan India mengumumkan langkah terbaharu bagi membendung penularan wabak maut itu.

Langkah berkenaan termasuk menggantung semua penerbangan dari Afghanistan, Filipina dan Malaysia ke India bermula 3 petang Selasa.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi kini membantu puluhan rakyat Malaysia mencari laluan alternatif untuk pulang atau mencari tempat tinggal sebelum membeli tiket.

Di Mumbai, kira-kira 20 rakyat Malaysia yang menempah tiket dengan Penerbangan Malaysia (MAS) ke Kuala Lumpur terpaksa berlepas pulang melalui Singapura menggunakan pesawat Singapore Airlines pada Selasa malam.

Konsulat Malaysia di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, terpaksa berdepan dengan banyak permintaan daripada rakyat Malaysia yang terperangkap di Selatan India.

Air Asia kini berusaha mendapatkan kebenaran kerajaan India untuk menerbangkan warga Malaysia yang terkandas di New Delhi dan Visakhapatnam, sewaktu syarikat tambang murah itu mengendalikan dua penerbangan khas mengangkut rakyat India dari lapangan terbang Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 4:28 PM