LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 40 jemaah umrah dari sebuah agensi pelancongan di Kedah tidak dapat berlepas ke Arab Saudi malam ini selepas kerajaan negara itu menggantung sementara kemasukan jemaah umrah kerana bimbang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif Fadlim Travel & Tours Sdn. Bhd, Abdul Halim Md Salleh berkata, pihaknya terkejut dengan maklumat di saat terakhir itu memandangkan pelbagai persediaan sudah dilakukan oleh syarikat serta jemaah yang berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Bagaimanapun katanya, syarikat terbabit difahamkan tiket penerbangan pergi balik tetap sah dan boleh digunakan selepas ini.

“Jemaah kita ada yang dari Kedah, Johor, Pahang dan beberapa negeri lain, mereka sudah berkumpul di KLIA kerana dijadualkan menaiki penerbangan MAS terus ke Jeddah pada 7 malam ini.

“Walaupun terkejut dengan berita pergantungan itu, saya tetap bersyukur kerana tidak perlu menanggung kerugian tinggi berikutan tidak perlu membeli tiket baharu.

“Cuma kita akan mohon visa baharu selepas kerajaan Arab Saudi kembali membenarkan kemasukan jemaah umrah,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Abdul Halim berkata, enam kumpulan jemaah umrah yang mendaftar di syarikat itu yang dijadualkan terbang ke Arab Saudi pada musim cuti sekolah Mac ini mungkin turut akan tertangguh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:18 PM