ABDUL Yunus. FOTO Arkib NSTP.
ABDUL Yunus. FOTO Arkib NSTP.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PENTADBIRAN kerajaan negeri berjalan seperti biasa seperti diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, tidak perlu timbul sebarang spekulasi lain berhubung kedudukan politik di negeri itu.

“Memang kita bersama Ahmad Faizal dan tak perlu ada Akuan Bersumpah untuk nyatakan sokongan kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program FAMA Fest, di Parit Buntar, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Yunus turut menafikan khabar angin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

di Perak menerima pelawaan menyertai Muafakat Nasional.

“Kita masih kerajaan, nak terima tawaran buat apa?

“Malah, tiada mana-mana pihak yang berjumpa saya untuk menawarkan sesuatu kerana kerajaan negeri masih kekal,” katanya.

Mengenai pelawaan terbuka oleh Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad supaya ADUN negeri itu menyertai Muafakat Nasional Perak, Abdul Yunus berkata, ia terpulang kepada pembangkang untuk membuat kenyataan.

“Apa yang pasti saya akan terus bersama EXCO Kerajaan Perak menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Selasa lalu Harian Metro melaporkan, Ahmad Faizal masih kekal bertugas sebagai Menteri Besar Perak seperti biasa dengan sokongan majoriti ADUN.

Ahmad Faizal dilaporkan memaklumkan Kerajaan Perak masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat Persekutuan.

“Saya masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab Menteri Besar menurut yang diamanahkan dan kekal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak, manakala barisan EXCO juga begitu.

“Saya sudah menyembah maklum kedudukan politik negara dan negeri kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya dipetik.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:59 PM