WANITA warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga sebuah flat di Taman Telipok Ria, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
WANITA warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga sebuah flat di Taman Telipok Ria, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

SEORANG wanita warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga sebuah flat di Taman Telipok Ria di Tuaran, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa berusia 62 tahun itu ditemui terbaring di bahagian belakang flat lima tingkat itu oleh penduduk pada jam 9.11 pagi.

Menurutnya, pegawai bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan daripada orang awam.

"Anggota paramedik yang tiba di lokasi memaklumkan mangsa masih bernyawa namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat pendarahan banyak di kepala.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat," katanya.

Menurut Mohd Hamizi, siasatan awal mendapati mangsa berseorangan di rumah di tingkat tiga flat berkenaan dan pintu hadapan turut berkunci.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:59 PM