Noor Hidayah Tanzizi


MENYUSAHKAN orang lain. Itu tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang bukan saja tidak melalui lorong kenderaan itu, sebaliknya memasuki laluan tol berpalang.

Tindakan kumpulan penunggang motosikal menyebabkan siren kecemasan di laluan bertol itu berbunyi, selain mengganggu pengguna kenderaan lain.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dirakam individu dalam kejadian yang didakwa berlaku di Plaza Tol Kampung Lekir Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan.

Menerusi dua rakaman video yang tular di laman sosial sejak semalam itu, ada penunggang motosikal berjaya melepasi laluan tol berpalang apabila palang itu ‘terbuka’ dan ada yang melalui celahan pada bahagian tengah palang tol.

SEKUMPULAN penunggang motosikal bertindak berani dengan tidak melalui lorong kenderaan itu, sebaliknya melanggar tol sehingga menyebabkan siren berbunyi di Plaza Tol Kampung Lekir Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan. FOTO Ihsan Pembaca
SEKUMPULAN penunggang motosikal bertindak berani dengan tidak melalui lorong kenderaan itu, sebaliknya melanggar tol sehingga menyebabkan siren berbunyi di Plaza Tol Kampung Lekir Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan. FOTO Ihsan Pembaca

Rakaman video itu juga memaparkan berlaku sedikit kekasaran membabitkan pengawal keselamatan di laluan tol terbabit terhadap seorang penunggang motosikal, dipercayai berang dengan tindakan kumpulan itu yang tidak mematuhi peraturan.

Tindakan kumpulan itu juga menghalang laluan kereta dan dipercayai turut menyebabkan pemandu kenderaan lain terpaksa berhenti di laluan berkenaan sekali gus mengundang kemarahan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, menurutnya, polis mengambil maklum mengenai video yang tular terbabit, namun setakat ini tiada maklumat berkaitan dakwaan kejadian itu berlaku di lebuh raya berkenaan.

“Tiada laporan polis (berhubung kejadian seperti yang tular) setakat ini.

“Penunggang motosikal sepatutnya menggunakan laluan yang disediakan untuk kenderaan itu dan semua pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 12:52 PM