MUHAMAD Zainon (dua dari kanan, seluar celoreng) dipenjara enam bulan kerana melakukan pencerobohan jenayah. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
MUHAMAD Zainon (dua dari kanan, seluar celoreng) dipenjara enam bulan kerana melakukan pencerobohan jenayah. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


SEORANG pengutip sampah dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan pencerobohan jenayah di tapak pelupusan sampah Semeling, 24 Januari lalu.

Tertuduh, Muhamad Zainon Idris, 35, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke kawasan harta yang dimiliki Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dengan niat melakukan kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar 2 petang pada 24 Januari lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-keduanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili Ruzanna Abdul Rahim dari Yayasan Guaman.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang disyaki menyebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah Semeling ditahan polis ketika sedang melakukan pembakaran di kawasan terbabit.

Suspek berusia 35 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan tembaga yang pada wayar daripada sampah yang berada di situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kehadiran suspek disedari pasukan Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 12:10 PM