gading gajah yang dirampas. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah
gading gajah yang dirampas. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah
Abdul Rahemang Taiming


SEPASANG suami isteri ditahan pasukan khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) kerana disyaki memiliki empat gading gajah dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Luasong, dekat Tawau, awal pagi semalam.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata, dalam serbuan jam 1.30 pagi itu ke atas sebuah rumah pekerja ladang berjaya menemui empat gading gajah yang disembunyikan di dalam almari di salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal terhadap pasangan suami isteri warga Indonesia itu mengakui semua gading itu adalah milik mereka yang dibeli dengan harga antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap satu daripada seseorang pada tahun lalu.

“Kedua-dua suspek juga mengakui bahawa gading gajah itu dengan berat hingga 2.5 kilogram itu akan dibawa ke Indonesia untuk dijual kerana mendapat permintaan selain faktor harga yang lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mashor berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 48 dan 50 tahun itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mashor berkata, dalam pemeriksaan berasingan di lokasi berhampiran, pasukan serbuan turut berjaya merampas 21 ekor burung murai batu yang di pelihara tanpa permit oleh pekerja ladang di situ.

“Kita turut merampas beberapa batang lembing, dua senapang angin dan dua senapang patah buatan sendiri.

“Bagaimanapun, semua burung murai yang diselamatkan itu di lepaskan semula ke dalam hutan manakala rampasan senjata diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menasihatkan pekerja ladang supaya memohon permit sekiranya mahu memelihara haiwan peliharaan seperti burung murai.

Katanya, beliau menegaskan operasi berterusan yang dijalankan adalah bukti komitmen Jabatan Perhutanan Sabah dalam memerangi kes pembunuhan gajah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Kami akan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan khususnya Jabatan Hidupan Liar bagi menjejak penjenayah yang mengancam khazanah negara.

“Siasatan lanjut juga sedang dilakukan terhadap laporan berkaitan pembabitan pengurusan ladang yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pemburuan haram. Mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya ada maklumat dan bukti mencukupi,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 11:28 AM