PEGAWAI Kesihatan Daerah Seremban meneruskan operasi pemeriksaan di premis makanan di Jalan Tuanku Munawir, selepas larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya semalam. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
PEGAWAI Kesihatan Daerah Seremban meneruskan operasi pemeriksaan di premis makanan di Jalan Tuanku Munawir, selepas larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya semalam. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Hasbi Sidek

SEBANYAK 71 notis dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dengan nilai kompaun mencecah RM17,150 dikenakan terhadap perokok hasil operasi penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, semalam.

Malah operasi pada hari pertama pelaksanaan larangan berkenaan diteruskan sehingga jam 2 pagi tadi di beberapa premis yang menjalankan perniagaan 24 jam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu dijalankan serentak di tujuh Pejabat Kesihatan Daerah membabitkan 132 pegawai.

"Operasi penguatkuasaan semalam bermula jam 8 pagi dan beberapa pasukan di daerah tertentu meneruskan operasi sehingga jam 2 pagi dengan mengambil kira tempat makan yang beroperasi 24 jam.

"Dalam penguatkuasaan hari pertama, sejumlah 784 tempat makan diperiksa dan 71 notis Seksyen 32B dikeluarkan. Ia membabitkan 51 notis bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1)(d) iaitu kesalahan merokok di tempat makan.

"Manakala 11 notis bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu pemilik tempat makan tidak mempamerkan tanda larangan merokok dan enam notis bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(b) kerana membenarkan orang awam merokok.

"Selebihnya, tiga notis bagi kesalahan orang belum dewasa merokok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ulas beliau, secara keseluruhan nilai kompaun dikenakan berjumlah RM17,150 dan semua individu terbabit diberikan tempoh selama dua bulan untuk menjelaskan bayaran kompaun masing-masing.

Katanya, berdasarkan perlanggaran dikesan sepanjang operasi penguatkuasaan semalam, dapat disimpulkan masih terdapat perokok dan pemilik tempat makan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Justeru, orang ramai dan pemilik atau tempat makan digesa supaya memberikan kerjasama dan komitmen untuk mematuhi peraturan ini demi memastikan tempat makan bebas asap rokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 2:34 PM