Siti Rohana Idris


ENAM beranak yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Nechang, Tumpat, minggu lalu kini terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga lain.

Che Romoh Adam, 68, berkata mereka terpaksa berhimpit di rumah anaknya yang didiami menantu serta lima cucu menjadikan keseluruhan penghuni seramai 13 orang.

Katanya, mereka enam beranak termasuk anak, menantu dan cucu tiada tempat tinggal lain untuk berteduh dan tidak mampu membaik pulih atau membina semula rumah pusaka yang seratus peratus terbakar.

“Saya pun tidak tahu sehingga bila kami harus menumpang tapi dalam masa yang sama anak (yang juga mangsa) turut mencari rumah sewa kerana tidak mahu terus menumpang.

“Usahkan untuk membina rumah baharu, kelangsungan hidup kami sekarang pun adalah hasil derma mereka yang datang menziarah,” katanya ketika ditemui di tapak kebakaran, semalam.

Dalam kebakaran pagi 22 Disember lalu, dua kediaman termasuk rumah Che Romoh hangus akibat dibakar oleh anak saudaranya, Ramlah Omar, 60-an yang mengalami masalah mental selepas melakukan pembakaran di dalam rumahnya yang didiami seorang diri.

CHE Romoh tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Nechang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Romoh tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Nechang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Che Romoh berkata, Ramlah kini tinggal bersama seorang jiran dan ada masanya dia akan datang ke tapak kebakaran melihat rumahnya yang sudah tinggal abu.

“Kami tidak boleh menyalahkannya kerana keadaan kesihatannya yang sebegitu cuma berharap jika ada yang sudi membantu untuk membina atau membaik pulih rumah kami asalkan kami boleh berteduh,” katanya.

Terdahulu mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang (INSANIAH) bersama sebuah pertubuhan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) iaitu Old Putra Association (OPA).

Wakil OPA, Mohd Azizan Zainal Abidin berkata, pihaknya akan cuba membantu yang termampu terutama dalam mencari rangkaian kenalan untuk mendapatkan dana.

“Kita menggunakan konsep bekerjasama dan ia akan dipraktikkan menerusi hebahan media sosial bagi mencukupkan dana yang diperlukan sama ada untuk membaik pulih atau bina kediaman yang baru untuk mangsa.

“Sebelum ini pun pertubuhan kami banyak terbabit dengan kerja amal dan kedatangan kami ke sini adalah untuk misi banjir di Rantau Panjang serta Tumpat jadi kesempatan yang sama kami gunakan untuk melebarkan program kebajikan,” katanya.

Berita berkaitan

Bahana bakar sampah dalam rumah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 2:39 PM