Khairul Najib Asarulah Khan


LEBIH 1,000 orang mengambil peluang bagi membayar saman trafik yang diberi diskaun sehingga 50 peratus di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai mula membanjiri perkarangan balai polis itu seawal 5 pagi.

Terdapat dua laluan disediakan iaitu laluan umum dan laluan khas bagi warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU) untuk memudahkan mereka melunaskan pembayaran saman berkenaan.

Pekerja swasta, Adib Akram Nor Azman, 25, berkata, dia beratur jam 7.10 pagi dan selesai membayar saman pada 12 tengah hari.

“Sebenarnya hari ini, saya kerja namun selepas minta pelepasan dari majikan untuk bayar saman mereka benarkan.

“Saya dikenakan saman atas kesalahan memandu laju dan sebaik rakan memberitahu terdapat potongan diskaun 50 peratus saya segera meminta kebenaran ke sini.

“Sebenarnya program ini menarik dan mengurangkan beban masyarakat namun cara pengurusannya perlu lebih baik seperti buka lebih banyak kaunter di beberapa kawasan dan bukan tertumpu di satu lokasi sahaja,” katanya yang datang dari Rawang, Selangor.

Suri rumah, Eva Sunarva Mat Amin, 50, berkata, dia sampai ke balai polis, jam 6.30 pagi selepas keluar dari rumahnya, jam 5.30 pagi dari Kampung Pandan.

“Saya bayarkan saman anak yang mana jumlah keseluruhan saman RM820 dan dengan potongan diskaun ini hanya membayar RM410.

“Terima kasih atas pemberian diskaun ini, kerana saya yakin bukan semua individu sengaja melakukan kesalahan trafik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, diskaun itu sempena Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

“Pembayaran saman itu dijalankan selama dua hari iaitu pada 24 dan 26 Disember (hari ini) bermula 8.30 pagi sehingga 4 petang.

“Bagaimanapun terdapat saman yang tidak layak mendapat diskaun iaitu saman kemalangan, saman berstatus NC (No Compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman ops selamat tahun semasa dan saman berstatus mahkamah serta saman berkaitan lori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 1:35 PM