ANTARA 60 kubur Tanah Wakaf Perkuburan Felda Pemanis yang rosak.
ANTARA 60 kubur Tanah Wakaf Perkuburan Felda Pemanis yang rosak.
Oleh Ahmad Ismail


SEBANYAK 60 kubur di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Pemanis di sini, mengalami pelbagai kerosakan akibat tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda daerah ini beberapa hari lalu.

Penggali kubur, Samad Mardi, 70, berkata, kerosakan itu membabitkan tanah mendap hingga ada batu nisan dan kepok pecah.

“Ia dikesan oleh waris dan penduduk yang menziarah pusara keluarga masing-masing Sabtu lalu.

“Berlaku tanah jerlus menyebabkan batu nisan serta kepok senget, patah dan retak berpunca aliran air yang kuat serta susulan hujan lebat melebihi 24 jam bermula Khamis lalu,” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Felda Pemanis di sini, kelmarin.

Menurutnya, tanah wakaf seluas kira-kira enam hektar itu dijadikan tanah perkuburan bagi penduduk Felda Pemanis 1 dan Pemanis 2.

“Kerja menimbus dan meratakan semula tanah permukaan serta menegakkan batu nisan dan kepok dilakukan sejak semalam (kelmarin) dan hanya siap sepenuhnya tengah hari tadi (semalam).

“Seramai 10 penggali kubur dibantu Belia Gabungan Muafakat Felda Pemanis bergotong-royong melakukan tanggungjawab sosial memulihkan kubur yang terjejas.

“Kerja meratakan tanah dan menambak permukaan menggunakan bantuan sebuah jentolak bagi memudahkan kerja,” katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 650 kubur di lokasi itu dimiliki penduduk sekitar sejak tanah wakaf berkenaan mula digunakan lebih 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 6:00 AM