Dr Mahathir melihat model Bandar Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian projek Bandar Malaysia. FOTO Luqman Hakim Zubir
Dr Mahathir melihat model Bandar Malaysia selepas majlis menandatangani perjanjian projek Bandar Malaysia. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


TRX City Sdn Bhd (TRXC) iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) hari ini memeterai perjanjian dengan konsortium IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) bagi membangunkan Bandar Malaysia.

Konsortium IWH-CREC terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) yang mana akan memperoleh 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB).

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM140 bilion, ia akan menjana impak besar kepada pembangunan bandar bagi Malaysia untuk terus menarik pelaburan langsung asing.

“Bandar Malaysia akan memberi impak besar ke atas ekonomi Malaysia kerana ia menjadi hub untuk terus menarik lebih banyak syarikat multinasional global serta membolehkan potensi kerjasama dalam bidang kewangan, teknologi dan keusahawanan.

“Pelan pembangunan semula Bandar Malaysia akan memastikan ia menjadi lebih inklusif dan akan dapat diselaraskan dengan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia,” katanya berucap pada majlis menandatangani perjanjian projek Bandar Malaysia hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, projek Bandar Malaysia sepatutnya dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang lebih dari 20 tahun yang mana ia membantu membentuk hala tuju Kuala Lumpur dalam beberapa dekad akan datang seperti hab pengangkutan yang berpotensi akan mengubah cara perjalanan seseorang individu.

“Ia juga boleh dilihat sebagai pusat komersial yang dapat memberikan rangsangan berterusan terhadap perdagangan dan inovasi sekali gus menjadi model kehidupan bandar berkualiti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian semula terhadap projek itu mengambil kira dasar kerajaan untuk memastikan ia menjadi pusat tumpuan dan memberi tambah nilai kepada ekonomi negara seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

April lalu Dr Mahathir mengumumkan, kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia ditangguhkan pada Mei 2017.

Beliau dipetik berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet selepas yakin ia membawa kesan besar kepada pembangunan bandar bagi Malaysia selain menarik pelaburan langsung asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 6:20 PM