AHLI keluarga dan kenalan arwah memberi penghormatan terakhir semasa pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama, Sungai Buloh. FOTO NSTP
AHLI keluarga dan kenalan arwah memberi penghormatan terakhir semasa pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama, Sungai Buloh. FOTO NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan


“ARWAH sememangnya minat sukan lasak sejak di bangku sekolah lagi. Tidak sangka dia (arwah) pergi semasa melakukan aktiviti berkenaan,” kata Abdul Rahman Yaakub, 77, bapa kepada Zaid Azuan Abdul Rahman, 49.

Zaid Azuan disahkan meninggal dunia di Rumah Sakit Siloam selepas menyelam di perairan Loh Dasami Pulau Rinca Selatan, Kawasan Taman Nasional Komodo (TNK) di Labuan Bajo, Indonesia pada 1 Disember lalu.

Abdul Rahman berkata, dua minggu sebelum Zaid Azuan ke Indonesia, dia ada singgah ke rumahnya di Dungun, Terengganu.

“Ketika itu sikapnya seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia (arwah) yang juga anak sulung dari empat beradik sememangnya minat aktiviti lasak seperti mendaki bukit atau gunung, termasuk menyelam.

“Saya tidak pernah menghalang aktiviti kegemarannya itu, namun permergiannya amat mengejutkan kami sekeluarga.

“Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Ilahi. Arwah anak sulung dari empat beradik, dia meninggalkan seorang balu dan lima anak (berusia 11 hingga 20 tahun),” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini.

Sementara itu, jiran Zaid Azuan, Azlee Jaafar, 52, berkata, dia mengenali arwah sejak 2005 selepas menginap di kawasan perumahan yang sama dengan arwah.

Azlee yang juga ahli kumpulan Senario itu menyifatkan arwah Zaid Azuan sebagai seorang yang ringan tulang dan mudah membantu jiran jika berlangsungnya sesuatu majlis di kawasan perumahan mereka.

“Sebenarnya, pemergian arwah masih mengejutkan komuniti penduduk di sini,” katanya.

Azlee berkata, jasad arwah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 9.30 malam tadi sebelum terus dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Selepas proses berkenaan tengah hari tadi, jasad arwah terus dibawa ke Masjid An-Nur, Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan,” katanya.

Harian Metro pada 2 Disember lalu melaporkan, mangsa bersama sembilan lagi rakannya tiba di pulau berkenaan pada 30 November sebelum melakukan aktiviti menyelam di perairan berkenaan.

Sebelum menyelam, Zaid Azuan dilaporkan dalam keadaan baik dan mereka hanya menyelam sekitar 10 minit.

Bagaimanapun, Zaid Azuan dilihat naik ke permukaan lebih awal dan seolah-olah kekurangan oksigen.

Berita berkaitan

Penyelam Malaysia meninggal di Labuan Bajo

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 7:45 PM