Laporan portal berita Harian Metro Ahad lalu mengenai perjumpaan bekas ahli PKM di Kajang.
Laporan portal berita Harian Metro Ahad lalu mengenai perjumpaan bekas ahli PKM di Kajang.
Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA tak tahu apa-apa pun, ini dia (PKM) punya masalah dan mesyuarat. Kebiasaannya kita tak ambil tahu pun. Awak (pengamal media) tahu apa? Bagilah tahu sikit kerana media lebih tahu daripada saya.

“Saya pun tak tahu apa dia berjumpa. Saya ada baca surat khabar la tetapi saya baru balik dari Korea. Kalau tanya pasal Korea saya boleh jawab,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah dewan di Kajang, Selangor, kelmarin.

Difahamkan, perjumpaan itu dihadiri bekas ahli PKM berusia antara 60 hingga 80 tahun yang juga didakwa bertujuan memperkukuhkan kembali perkenalan mereka.

Dalam perkembangan lain Dr Mahathir berkata, beliau menyifatkan cadangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Tugas Khas adalah pandangan peribadi Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin.

Menurutnya, beliau tidak semestinya bersetuju dengan semua cadangan dikemukakan mana-mana pihak mengenai rombakan Kabinet.

“Itu pendapat dia (Abdul Kadir)...di Malaysia ini kita bebas bersuara dan sesiapa pun boleh buat apa-apa cadangan.

“Saya dengar semua orang punya cakap, tak semuanya kita setuju. Cadangan mengenai rombakan Kabinet ini adalah seiring dengan kebebasan bersuara dan boleh bertanya apa-apa saja mengenainya.

“Tetapi sama ada saya mahu memberi maklum balas atau tidak, itu adalah keputusan saya dan hanya saya yang tahu,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Kadir mencadangkan Anwar dilantik sebagai Menteri Tugas Khas susulan keputusan Dr Mahathir mahu merombak Kabinet akibat kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 1:13 PM