M Kulasegaran (kanan) ketika melawat pameran Perak Startup Festival 2019 di Ipoh. FOTO Effendy Rashid.
M Kulasegaran (kanan) ketika melawat pameran Perak Startup Festival 2019 di Ipoh. FOTO Effendy Rashid.
Muhammad Apendy Issahak


PERANAN suami zaman ini bukan seperti zaman dahulu kerana perlu berada di samping isteri dalam menguruskan keperluan anak yang baru dilahirkan serta perkara berkaitan.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, mengambil kira faktor itu maka pihaknya komited memastikan cadangan penetapan tiga hari atau lebih cuti paterniti wajib bagi suami bekerja di sektor swasta dibentangkan di Kabinet.

Beliau menjangkakan pembentangan itu dalam tempoh dua minggu lagi berikutan kertas kerja dan Rang Undang-Undang mengenainya sudah hampir diluluskan Peguam Negara.

Rang Undang-Undang pula diharap dapat diusulkan pada Januari 2020.

“Kita sudah berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh serta Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang ada menyatakan bantahan serta cadangan, antaranya jika cuti bersalin diberikan kepada suami, ia perlu dibiayai oleh kerajaan.

“Perubahan ini bukan mudah kerana ia (polisi) sudah berlaku sejak dulu lagi dan apabila saya bangkitkan perkara ini, terdapat rintihan, bantahan dan ada pihak yang inginkan cara berbeza,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Perak Startup Festival 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh, hari ini.

Ditanya sama ada cuti dipohon mencukupi, Kulasegaran berpendapat, suami perlu diberikan cuti sewajarnya untuk menjaga isteri serta anak yang baru dilahirkan.

“Saya sendiri sebagai seorang bapa dan dalam negara kita, ia membabitkan pendaftaran anak dan masalah lain termasuk sakit.

“Hari ini banyak bayi yang baru dilahirkan berdepan masalah demam kuning (juandice) dan saya rasa zaman ini bapa perlu bersama bayi yang baru dilahirkan serta isteri kerana peranan bapa sekarang sudah banyak berubah bukan seperti zaman ibu bapa kita dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 2:52 PM