Khairul Najib Asarulah Khan


ANGGOTA bomba terpaksa mengiringi pelancong dan penghuni melalui laluan pejalan kaki yang baru dibina bagi membawa mereka pulang ke hotel atau pangsapuri yang terletak di

Jalan Ion D’elemen, Genting Highlands berikutan tanah runtuh petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusri Abdullah Sani berkata, sehingga 2 pagi tadi seramai 220 pelancong termasuk pekerja di hotel dan penghuni pangsapuri itu sudah dibawa melalui laluan pejalan kaki berkenaan.

Menurutnya, laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter itu dibina kontraktor sebagai pendekatan bagi menghubungkan pelancong dan pekerja yang ingin pulang semula ke penginapan itu selepas berkunjung di pusat peranginan Genting Highlands.

“Ketika mereka keluar belum terjadinya kejadian tanah runtuh berkenaan tetapi ketika ingin pulang semula menyebabkan mereka terkandas.

“Dengan itu, laluan ini dibina dan disebabkan laluannya yang gelap kami (bomba) membantu iringi mereka dan dibantu polis serta anggota

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang keseluruhanya seramai 40 orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, selepas melalui laluan pejalan kaki itu mereka akan menaiki van dan bas yang disediakan hotel dan pangsapuri untuk ke penginapan berkenaan.

“Bagi laluan jalan raya itu, kita menjangkakan ia dapat dibuka semula pada 8 pagi nanti.

“Namun ia hanya membabitkan satu laluan saja dan hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui jalan terbabit.

“Buat masa ini kerja membersih laluan sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 7:38 AM
KERJA membersih runtuhan dijalankan di kawasan Jalan Ion D’elemen, Genting Highlands pagi hari ini. FOTO ihsan JBPM
KERJA membersih runtuhan dijalankan di kawasan Jalan Ion D’elemen, Genting Highlands pagi hari ini. FOTO ihsan JBPM