Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Prof Dr Azlan Ab Rahman (kanan) bertemu dengan penerima Anugerah Naib Canselor Alifah Ilyana (dua dari kanan) selepas majlis penyampaian Anugerah Graduan Cemerlang Program Diploma sempena Konvokesyen UTM Ke-63. Foto Zain Ahmed
Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Prof Dr Azlan Ab Rahman (kanan) bertemu dengan penerima Anugerah Naib Canselor Alifah Ilyana (dua dari kanan) selepas majlis penyampaian Anugerah Graduan Cemerlang Program Diploma sempena Konvokesyen UTM Ke-63. Foto Zain Ahmed
Ibrahim Isa


IKHLAS dalam semua tugasan menjadi pegangan penerima Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Alifah Ilyana Soharto, 21.

Anak kelahiran Miri, Sarawak itu antara 77 graduan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE) yang menerima Anugerah Graduan Cemerlang Program Diploma UTM.

Penganugerahan itu diadakan sempena majlis Konvokesyen UTM Ke-63 di Johor Bahru hari ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, pesanan bapanya supaya hanya membuat sesuatu dengan ikhlas menjadi pegangan hidupnya.

Graduan Diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat) itu berkata, apabila melakukan sesuatu perkara termasuk mengulang kaji dengan ikhlas semua urusan akan dipermudahkan dan mencatat keputusan cemerlang.

“Alhamdulillah tiada petua khas. Cuma perlu ikhlas dalam semua perkara dan jangan memaksa diri. Jika penat, lakukan aktiviti lain sebelum mengulangkaji semula.

“Insya-Allah, sekiranya kita ikhlas, semuanya akan dipermudahkan,” katanya yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 bagi setiap semester.

Menurutnya, selain memberi tumpuan dalam bidang akademik, dia turut aktif dalam program kolej serta UTM.

Sementara itu, Penerima Anugerah Graduan Terbaik Pengajian Sepenuh Masa UTM Lois Chong Xian Shiuan, 21, berkata, dia bertuah kerana dapat melanjutkan pengajian dengan tujuh rakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai bersama-samanya.

“Kami berkawan sejak tingkatan satu dan persefahaman yang ada membolehkan kami belajar bersama-sama.

“Kejayaan saya juga hasil bantuan rakan-rakan walaupun ada di antara mereka mengambil jurusan lain,” katanya yang mencatat CGPA 4.0 setiap semester.

From: Izlaily

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:32 PM