SAIDAH menunjukkan tapak tangan dan lengan kirinya ditetak penyamun, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
SAIDAH menunjukkan tapak tangan dan lengan kirinya ditetak penyamun, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


SEORANG lelaki tergamak menyamun dan menetak seorang warga emas di sebuah kedai makan sebaik azan subuh berkumandang di Kampung Mahligai, Bachok, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa, Saidah Mat Yusoff, 69, cedera ditetak di tapak tangan dan lengan kiri.

Dia kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mahligai sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Suami wanita itu, Ibrahim Harun, 70, berkata, sebelum kejadian dia dan isteri baru membuka kedai makan.

Katanya, ketika kejadian, dia baru sahaja sampai di tangga Masjid Mahligai yang terletak bertentangan dengan kedai makannya untuk menunaikan solat Subuh sebelum terdengar isterinya menjerit meminta tolong.

“Isteri berlari ke masjid dalam keadaan berlumuran darah dengan memegang tangan kirinya yang ditetak.

“Dia beritahu diserang seorang lelaki bertopeng dengan parang dan melarikan rantai leher serta satu beg isteri yang mengandungi wang dan barang kemas.

“Isteri saya kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai, hari ini.

Ibrahim menjelaskan isterinya disamun dan ditetak ketika hendak membuka kedai sebaik azan Subuh. FOTO Nor Amalina Alias
Ibrahim menjelaskan isterinya disamun dan ditetak ketika hendak membuka kedai sebaik azan Subuh. FOTO Nor Amalina Alias

Ibrahim berkata, lelaki itu masuk ke kedai mereka melalui pintu yang sudah dipecahkan

“Ini kejadian kali ketiga berlaku di kedai kami, namun kali pertama berdepan dengan penjenayah. Sebelum ini pencuri hanya melarikan tong gas sahaja.

“Isteri kelihatan masih trauma dan tidak dapat melelapkan mata kerana masih dihantui kejadian ngeri itu, saya harap pelaku dapat ditangkap segera ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dilaporkan di Balai Polis Gunung, Bachok, 9 pagi hari kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 8:33 PM