MAYAT lelaki yang belum dikenalpasti ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi jalan di Batu 6, Jalan Utama, Kampung Cocos, di Lahad Datu. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT lelaki yang belum dikenalpasti ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi jalan di Batu 6, Jalan Utama, Kampung Cocos, di Lahad Datu. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman

MAYAT lelaki yang belum dikenal pasti ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi jalan di Batu 6, Jalan Utama, Kampung Cocos, dekat Lahad Datu, hari ini.

Mayat mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu disedari orang awam pada 6.30 pagi dengan beberapa kesan kecederaan di kepala sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, sepasukan polis dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat terbabit.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat dua kesan luka di kepala dan mangsa disyaki sudah meninggal dunia lebih dari 12 jam.

“Kedua-dua belah kasut mangsa turut tertanggal dan polis menemui telefon bimbit yang sudah pecah serta dompet di seluar mangsa terbabit.

GAMBAR wanita ditemui dalam dompet mayat lelaki yang belum dikenalpasti, ditemui di tepi jalan di Batu 6, Jalan Utama, Kampung Cocos, supaya menghubungi pihak polis, untuk membantu siasatan di Lahad Datu. FOTO Ihsan PDRM

“Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, hasil siasatan di lokasi, polis menemui serpihan lampu kenderaan berhampiran mayat namun tiada saksi dilaporkan melihat kejadian setakat ini.

“Mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

“Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Nasri berkata, setakat ini polis masih menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan berkaitan kes trafik.

Katanya, pihaknya turut meminta wanita dalam gambar yang ditemui dalam dompet mangsa supaya menghubungi pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:02 PM