Antara guni beras yang dirampas kastam di gudang kargo LTAK Ahad lalu. FOTO Ihsan Kastam
Antara guni beras yang dirampas kastam di gudang kargo LTAK Ahad lalu. FOTO Ihsan Kastam
Garret Dawum


MISTERI konsaimen yang diisytihar mengandungi sos tartar dan mayonis terbongkar selepas pemeriksaan kastam menemui beras dengan nilai RM4,000 di gudang kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Ahad lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, konsaimen itu dibawa masuk ke negeri itu menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan konsaimen itu menemui 100 guni beras jenama Hikari Japanese Rice.

“Semua beras itu dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan dan sudah disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halimah berkata, serbuan itu dilakukan atas maklumat yang diterima dan seorang ejen penghantaran sudah ditahan serta barang rampasan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Kuching.

“Beras terbabit diikrar sebagai sos tartar dan mayonis untuk mengelak pengimport mengemukakan dokumen sokongan seperti

had pergerakan barangan dan permit pihak berwajib.

“Pengimportan barangan kawalan memerlukan permit import pihak berkaitan dan tertakluk kepada duti kastam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penalti kerana membuat akuan tidak betul dan memalsukan dokumen.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau pejabat kastam berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 3:07 PM