POLIS berjaya menahan pasangan kekasih yang melakukan samun di Bangsar.
POLIS berjaya menahan pasangan kekasih yang melakukan samun di Bangsar.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PASANGAN kekasih yang sering melakukan jenayah bersama berakhir apabila cubaannya menyamun seorang wanita warga emas, gagal.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di Jalan Terasek 8, Bangsar, Selasa lalu, wanita berusia 63 tahun memarkir kereta untuk ke pejabat sebelum disamun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, mangsa yang baru keluar daripada kereta dihampiri motosikal ditunggang seorang lelaki dan pembonceng wanita.

“Suspek lelaki menarik beg silang mangsa sambil mengacukan parang terhadapnya.

“Mangsa yang ketakutan melepaskan beg sebelum dilarikan pasangan terbabit,” katanya.

Arifai berkata, suspek lelaki berjaya ditahan anggota unit peronda polis (MPV) yang berada berhampiran tempat kejadian.

“Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama beg disamun manakala teman wanitanya berjaya melarikan diri.

“Teman wanita suspek berusia 28 tahun berjaya dicekup keesokan harinya (semalam) di Jalan Tun Sambanthan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-duanya adalah pasangan kekasih.

“Suspek lelaki memiliki lapan rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala teman wanitanya tidak mempunyai rekod.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek lelaki juga mendapati dia positif dadah,” katanya.

Menurutnya, motosikal digunakan turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Puchong, beberapa bulan lalu.

“Mereka kini direman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:54 PM