Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PENEMUAN bangkai ikan di permukaan Sungai Menora, Kuala Kangsar pada 13 September lalu, meresahkan penduduk di dua kampung yang bimbang ia dicemari bahan berbahaya.

Ketua Kampung Rambai Tujuh, Ahmad Rizal Ahmad Jah, 43, berkata pihaknya menyarankan penduduk kampung agar tidak memakan hasil tangkapan dari sungai selagi belum mendapat pengesahan dan kebenaran pihak berwajib.

Menurutnya, penduduk pada mulanya menyangka sungai itu tercemar selepas sebuah lori bermuatan bahan kimia terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hingga menyebabkan cecair kimia mengalir ke sungai melalui longkang lebuh raya.

Bagaimanapun, Ahmad Rizal berkata, tinjauan di lokasi mendapati keadaan itu dipercayai berpunca dari sisa kapur yang ditinggalkan sebuah lori yang terbabit kemalangan berhampiran kawasan itu sejak dua minggu lalu.

“Sisa kapur ditinggalkan itu dipercayai mengalir ke longkang lebuh raya ketika hujan sebelum masuk ke sungai yang mengakibatkan hidupan sungai mati disebabkan perubahan kualiti air.

“Keadaan ini bukan saja menjejaskan mata pencarian sebahagian penduduk kampung malah dibimbangi turut menjejaskan ekosistem hidupan sungai,” katanya ketika ditemui hari ini.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar semalam.

Katanya, susulan laporan itu, polis bersama bomba turut berusaha mengesan punca pencemaran di lokasi berkenaan selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel air untuk dianalisis.

“Kejadian ini adalah kali kedua berlaku. Kali pertama pada 1986 iaitu ketika pembinaan lebuh raya di kawasan berkenaan.

“Tumpahan minyak juga pernah berlaku hingga mencemar Sungai Akar yang bertemu dengan Sungai Menora sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:18 PM