Gambar daripada rakaman video kekecohan yang berlaku antara pengkuat kuasa MBPP dan peniaga kenderaan saji di Padang Kota, Georgetown yang tular sejak malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video kekecohan yang berlaku antara pengkuat kuasa MBPP dan peniaga kenderaan saji di Padang Kota, Georgetown yang tular sejak malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli


POLIS sudah terima laporan berhubung kekecohan yang tercetus antara penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan peniaga di Padang Kota, Georgetown semalam.

Ia susulan video tular di media sosial sejak malam tadi berhubung kekecohan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kedua-dua pihak iaitu peniaga dan MBPP sudah membuat laporan masing-masing mengenai kejadian itu.

“Saya hanya dapat nyatakan bahawa ada laporan dibuat oleh kedua-dua pihak itu.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdapat tiga rakaman video mengenai kejadian itu tular sejak malam tadi.

Video pertama memaparkan cermin kenderaan saji (food truck) milik seorang peniaga dipercayai dipecahkan pihak MBPP dan video kedua menunjukkan kenderaan peniaga berlanggar dengan kenderaan MBPP menyebabkan barangan jualan bertaburan di atas jalan raya.

Rakaman video ketiga pula memaparkan kenderaan MBPP menghalang kenderaan saji peniaga terbabit.

Video berkenaan mendapat perhatian warganet yang mendakwa pihak MBPP menjalankan kerja tanpa belas kasihan dan kejam.

Sementara itu, Harian Metro masih menunggu pengesahan dan kenyataan MBPP.

Pada 27 Ogos lalu, turut tular ialah video peniaga berstatus orang kurang upaya (OKU) di Jalan Green Hall, Georgetown yang diambil tindakan MBPP mengundang kemarahan warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:23 PM