JIM Putrajaya menjadi tumpuan warga asing yang menyertai program penghantaran ke negara asal secara sukarela. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
JIM Putrajaya menjadi tumpuan warga asing yang menyertai program penghantaran ke negara asal secara sukarela. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“TERIMA kasih kerajaan Malaysia kerana memberi peluang untuk kami pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang,” kata Juliandi, 27.

Warga Indonesia dari Palembang itu berkata, keputusan kerajaan Malaysia memperkenalkan program penghantaran semula pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela memberi kelegaan kepadanya yang sudah tinggal lebih masa sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, kegagalan pulang ke negara asal disebabkan masalah kewangan kerana bekerja sebagai pekerja restoran di Kelana Jaya.

“Saya tidak mahu mengulangi kesilapan ini (tinggal lebih masa) kerana tidak mahu ditangkap pihak berkuasa,” katanya ditemui di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya hari ini.

Pejabat JIM Putrajaya dipenuhi warga asing yang sejak pagi mengambil peluang pulang ke negara masing-masing menerusi program ditawarkan kerajaan dari 1 Ogos hingga 31 Disember ini.

Lelaki warga India, Jaswant Sigh, 35, menjadikan kegagalan majikan menyediakan permit kerja punca dia tinggal lebih masa di Malaysia.

Katanya, program penghantaran semula PATI itu digunakan untuk pulang namun berjanji akan mematuhi undang-undang Malaysia jika mahu kembali bekerja di negara ini.

“Saya akan pastikan ejen dan majikan selepas ini menyediakan permit kerja terlebih dulu sebelum bekerja kerana tidak mahu ditahan kerana tinggal lebih masa,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin di Seri Kembangan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengadakan sidang media hujung bulan ini untuk memaklumkan perkembangan program penghantaran semula PATI.

“Satu sidang media akan diadakan JIM hujung bulan ini,” katanya.

Kerajaan menjangkakan 300,000 hingga 400,000 PATI menyertai program pengampunan sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan selepas 31 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:59 PM