Tertuduh dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Tertuduh dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN lelaki mengugut mahu membakar rumah dan merosakkan motosikal jirannya membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Noor Azli Abu Bakar, 45, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 427 kanun sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan membakar rumah milik Wahaludin Wahab, 42, di Jalan Lubuk Binjai, Kampung Undang, Kuala Terengganu pada 5 pagi, 8 April lalu.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan motosikal milik mangsa membabitkan kerugian RM1,000 di alamat, masa dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan memerintahkan hukuman berlangsung serentak mula dari tarikh ditangkap pada 10 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh datang ke rumah mangsa dengan menunggang sebuah motosikal sebelum membakar sampah di luar rumah itu.

Mangsa menegur perbuatan tertuduh sehingga berlaku perselisihan faham antara mereka.

Tertuduh mengamuk dan mengambil sebatang cangkul lalu merosakkan motosikal Honda Wave milik mangsa selain mengugut mahu membakar rumah mangsa.

Susulan laporan mangsa di Balai Polis Chendering, tertuduh ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Alor Parit pada 12.30 tengah malam, 10 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:52 PM