ALLAHYARHAM Ramli Osman (tiga dari kiri di belakang) bersama anggota keluarganya di kediaman mereka di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah.
ALLAHYARHAM Ramli Osman (tiga dari kiri di belakang) bersama anggota keluarganya di kediaman mereka di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah.
Rizanizam Abdul Hamid dan Hassan Omar


ALOR GAJAH: “Saya rasa tidak sedap hati apabila adik masih tidak sampai ke rumah walaupun sudah jam 9.30 malam, biasanya 9.10 atau 9.15 malam dia sudah sampai,” kata Asiah Osman, 43.

Asiah adalah kakak kepada pengawal keselamatan yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kuala Sungai Baru di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.02 malam itu, mangsa Ramli Osman, 38, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Jerneh, Kuala Sungai Baru, ke rumahnya di Batu 28, Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, di sini.

Kerisauan Asiah terjawab apabila seorang jiran memaklumkan adiknya maut dalam kemalangan jalan raya kira-kira 800 meter dari rumah mereka.

“Selalunya arwah tiba di rumah kira-kira jam 9.10 atau 9.15 malam selepas habis kerja di sekolah, tetapi malam tadi (kelmarin) dia lambat sampai.

“Tidak lama kemudian, seorang jiran memaklumkan adik terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Asiah yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, arwah adiknya yang masih bujang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.

“Cuma arwah agak pendiam selepas ibu, Yah Hassan meninggal dunia Disember lalu kerana arwah memang rapat dengan arwah ibu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke arah Linggi dilanggar sebuah motosikal Modenas RS200 dari arah belakang ketika hendak memasuki simpang sebelah kanan di persimpangan Jalan Kolej Islam, Kuala Sungai Baru.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa bergesel dengan sebuah lagi motosikal lain Honda Wave ditunggang lelaki berusia 52 tahun yang datang dari arah sama.

“Mangsa berusia 38 tahun maut di tempat kejadian dan semakan mendapati, penunggang motosikal Modenas RS200 berusia 22 tahun tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:40 AM