Nur Lela Zulkipli


KERAJAAN negeri memberi tempoh sehingga 2025 kepada pengusaha restoran untuk menghentikan penggunaan penyedut minuman plastik sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Hee Loy Sian berkata, sehingga kini tiada tindakan undang-undang dan penguatkuasaan bagi kesalahan menggunakan penyedut minuman plastik.

“Buat masa ini, kita beri masa lagi kepada pengusaha restoran dan pengguna supaya menghentikan penggunaan penyedut minuman plastik menjelang 2025.

“Ini kerana pada 2025, kita akan laksanakan denda sewajarnya sekiranya masih ada pengusaha restoran dan juga pengguna yang masih menggunakan bahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis lawatan turun padang bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Haris Kasim ke premis makanan dan minuman, semalam.

Dalam lawatan itu, Hee dan Haris menyerahkan notis peringatan sempena kempen penguatkuasaan penggunaan penyedut minuman plastik di Plaza Shah Alam, Selangor.

 HEE (kanan) bersama Haris (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pelanggan mengenai kegunaan penyedut minuman guna pakai di Plaza Shah Alam. FOTO ROSLIN MAT TAHIR
HEE (kanan) bersama Haris (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pelanggan mengenai kegunaan penyedut minuman guna pakai di Plaza Shah Alam. FOTO ROSLIN MAT TAHIR

Menurut Hee, biarpun tempoh enam tahun diberikan agak lama, namun pihaknya percaya penduduk Selangor mampu memberi kerjasama baik terhadap usaha dijalankan ini.

“Buat masa ini, kita bertindak dengan cara mendidik menerusi kempen #BebasStrawPlastik terhadap pengusaha kedai makan dan penduduk supaya membiasakan diri tidak lagi menggunakan penyedut minuman plastik.

“Masa diberikan juga dilihat cukup untuk pengusaha kedai makan menukar kepada penyedut minuman kertas atau cara lain yang bersesuaian.

“Kita juga akan mewajibkan premis makanan supaya mengikuti kempen dijalankan sebelum memperbaharui lesen perniagaan mereka selepas ini,” katanya.

Jelas Hee, sebanyak 100 juta penyedut minuman plastik digunakan dalam tempoh sebulan berdasarkan anggaran penduduk Selangor iaitu seramai 3.2 juta dan jumlah berkenaan adalah membimbangkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

“Jadi menerusi kempen dijalankan ini, ia membabitkan pelaksanaan di mana penyedut minuman plastik tidak akan diberikan kepada pengguna secara automatik bagi setiap minuman dipesan.

Selain itu, penyedut minuman plastik juga dilarang disediakan di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan dan hanya diberikan atas permintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 4:35 PM