DR Mahathir menerima buku Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 daripada Rina, semalam.
DR Mahathir menerima buku Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 daripada Rina, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenal pasti sebuah kawasan pertanian kecil untuk dicantum dan diuruskan sebagai estet besar sebelum dijadikan model dan contoh kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya jika pertanian diuruskan dengan skala besar, ia mampu memberi keuntungan yang cukup kepada petani khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengenal pasti sebuah kawasan pertanian untuk dicantumkan dan diuruskan sebagai sebuah ladang dan estet yang besar.

“Estet ini kelak akan dijadikan sebagai contoh kepada pembukaan lebih banyak estet lain pada masa depan.

“Proses cantuman kawasan pertanian itu akan membabitkan ladang getah, kelapa sawit dan sawah padi,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Ditanya sama ada langkah itu satu usaha untuk kurangkan subsidi kerajaan, Dr Mahathir berkata, soal mengurangkan subsidi atau tidak bergantung kepada hasil.

Namun, katanya, beliau yakin setiap petani akan memperoleh keuntungan yang cukup jika kawasan pertanian mereka diuruskan dengan skala ladang lebih besar.

“Kita dah tahu dari awal estet boleh buat duit, tapi ia tidak berlaku kepada petani yang memiliki kawasan pertanian kecil.

“Kita sudah tahu perkara itu dari awal tapi membiarkannya dari setahun ke setahun. Sekarang ini kita kena mulakan dari awal dan seluruh sistem perlu diubah,” katanya.

Ditanya sama ada konsep cantum kawasan pertanian itu sama dengan yang dilaksanakan Felda, Dr Mahathir berkata, beliau menyifatkan apa yang dilakukan oleh Felda itu silap.

“Felda itu silap. Pada awalnya kita cadang untuk buat estet besar di mana dalam setiap estet berkeluasan 1,000 ekar (404 hektar), ia diwakili 100 peneroka di mana setiap peneroka memiliki 10 ekar (4 hektar).

“Saya dapati itu (rancangan) tidak dilakukan. Kini masing-masing peneroka kena uruskan sendiri kawasan pertanian mereka menyebabkan ladang mereka tidak cekap dan tidak cukup modal.

“Kita kena ada modal yang cukup untuk urus ladang besar. Kalau ia diuruskan sendiri, maka pendapatan yang mereka perolehi rendah,” katanya.

Menurutnya, setiap skim pertanian di bawah Felda boleh melaksanakan cantuman kawasan pertanian namun ia perlu dikendalikan satu pengurusan yang sama.

Dr Mahathir berkata, jika petani terus menjalankan pertanian dalam skala kecil, mereka akan terus miskin dan terpaksa bergantung kepada subsidi daripada kerajaan.

Selain itu, katanya, petani juga boleh mengusahakan tanaman sampingan lain dalam kawasan pertanian untuk menambah pendapatan seperti nanas, sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.

“Tanaman sampingan itu mempunyai permintaan yang tinggi malah ia boleh menampung pendapatan sekiranya tanaman utama mengalami kejatuhan harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:00 AM