Shahrinnahar Latib


SEORANG wanita sanggup memberikan pinjaman wang berjumlah RM24,780 kepada lelaki yang baru dikenalinya di Facebook (FB) selepas terpedaya dengan perangkap cinta dimainkan suspek yang menyamar sebagai ‘Datuk’.

Wanita berusia 36 tahun itu berkenalan dengan suspek pada 2017 di FB dan ‘bercinta’ di laman sosial sehingga bulan lalu sebelum menyedari ditipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berkenalan dengan suspek yang mendakwa ahli perniagaan berstatus ‘Datuk’ pada Oktober 2017.

“Dalam tempoh perkenalan itu, suspek mahu meminjam wang daripada mangsa kononnya bagi kegunaan perniagaan dengan syarikat petroleum.

“Mangsa membuat tiga kali deposit wang berjumlah RM24,780 ke dalam tiga akaun bank yang berbeza dengan kali terakhir pada Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tinggal di Lanchang turut menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya kepada suspek secara pos.

“Bagaimanapun, selepas menyerahkan kad ATM itu, mangsa tidak dapat menghubungi suspek dan berasa ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam selepas merasakan ditipu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 1:01 PM