ALOR GAJAH 14 MEI 2019. Ketua Menteri, Adly Zahari (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan kepada golongan asnaf pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab, Lendu. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
ALOR GAJAH 14 MEI 2019. Ketua Menteri, Adly Zahari (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan kepada golongan asnaf pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab, Lendu. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat


KETUA Menteri, Adly Zahari membayangkan perkhabaran gembira berupa bayaran khas kepada lebih 5,000 penjawat awam di Melaka menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengumuman yang dijangka dibuat esok adalah untuk meringankan beban golongan itu untuk melakukan persiapan awal menyambut hari raya.

Tanpa menyatakan jumlah yang bakal dinikmati penjawat awam itu, Adly berkata, keputusan mengenainya akan dibincang dan diputuskan menerusi mesyuarat mingguan EXCO kerajaan negeri, esok.

“Kita akan tentukan esok. Kami akan mencari formula terbaik untuk menentukan jumlah yang bakal diberi, tetapi apa yang pasti ia (jumlah) dijangka lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Saiyidina Umar Al Khatab, Lendu hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan meluaskan lagi pemasangan lampu isyarat menggunakan sistem ‘Synchronize Green Wave’ (SGW) selepas pemasangan fasa pertama di persimpangan bertingkat Ayer Keroh dan persimpangan Padang Jambu berjaya menurunkan sehingga 60 peratus tempoh penjimatan masa perjalanan.

Beliau berkata, lampu isyarat yang dipantau menerusi bilik kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka itu memberi kesan besar kepada penyuraian trafik di negeri itu sekali gus merungkai permasalahan yang membelenggu pengguna jalan raya.

“Kita sudah mengarahkan JKR untuk memasang SGW fasa kedua di Simpang Ampat yang juga pintu masuk kedua ke Melaka sebelum melaksanakannya bagi fasa seterusnya di beberapa lokasi lain termasuk di Bukit Palah (Persimpangan Masjid Al-Azim).

“Kita dapati SGW ini menjimatkan banyak masa selain memberi impak positif bukan saja dalam sektor industri tetapi juga pelancongan.

“Dengan kos RM250,000, pemasangan itu akan terus dipertingkatkan termasuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap lampu isyarat di negeri ini bagi tujuan kawalan oleh bilik kawalan JKR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:50 PM