Syaherah Mustafa


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah gambaran kehidupan sebuah keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman dengan rumah serba daif dan berdindingkan kain perca di kawasan ladang sawit di Kampung Padang Bukit, Rantau Panjang.

Bukan saja kawasan rumah mereka jauh daripada penempatan lain malah untuk sampai ke ‘pondok’ usang mereka perlu berjalan kaki menyusuri ladang sawit sejauh 500 meter.

Siapa sangka, Nora Che Abdul Rahman, 34, dan suami, Ramli Jusoh, 37, sudah 14 tahun tinggal di kawasan itu bersama empat anak berusia lapan hingga 18 tahun.

Selain Nora sekeluarga, ibu, adiknya serta bapa saudaranya juga menetap di kawasan sama dengan jumlah enam pondok dibina sendiri dalam kawasan ladang terbabit.

Nora berkata, bagi mendapatkan sedikit keselesaan mereka membina enam pondok di kawasan itu untuk berteduh secara berasingan tetapi dengan jarak yang dekat termasuk untuk dua anaknya yang sudah berkahwin.

“Pondok ini kami bina sendiri menggunakan buluh, kayu hutan serta berdindingkan perca kain.

“Penempatan kami ini jarang diketahui kecuali penduduk kampung berhampiran kerana tersorok di tengah hutan dan ladang sawit.

“Kami mendapatkan bekalan air melalui air bukit manakala elektrik disambungkan di sebuah pondok milik individu yang sudi membantu kami,” katanya.

Menurutnya, mereka pernah tinggal bergelap dan hanya bertemankan cahaya pelita selama lima tahun sebelum mendapat bantuan elektrik.

Katanya, laluan untuk masuk ke rumah sangat sempit dengan jalan berlubang malah lebih teruk ketika hujan.

“Air mencurah turun ke kawasan rumah dan jalan menjadi licin bukan saja tidak selamat untuk dilalui motosikal malah juga berjalan kaki,” katanya yang mengambil upah menoreh getah bersama suami untuk menyara kehidupan.

Nora berkata, jika tidak dapat menoreh punca pendapatan mereka terputus dan terpaksa menebalkan muka untuk berhutang bagi mendapatkan sesuap nasi.

“Kami terpaksa mencatu makanan dan jika ada rezeki dapatlah kami merasa ikan sungai yang dipancing anak saya. “Jarang sekali kami dapat merasa makanan sedap seperti lauk ayam.

“Sepanjang puasa ini, ada masanya kami berbuka dengan mengutip pucuk serta ulam-ulaman di sekeliling rumah untuk dijadikan lauk.

“Memandangkan kawasan ini dikelilingi hutan dan ladang sawit, rumah kami banyak kali dimasuki haiwan liar seperti ular berbisa atau khinzir,” katanya.

Nora berkata, mereka tidak pernah menerima bantuan kecuali daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce Rantau Panjang, yang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.

Mengulas lanjut, Nora berkata, dia dan keluarga juga terpaksa menahan sejuk jika hujan kerana pondok mereka dimasuki air akibat atap bocor dan dinding berlubang.

“Kami tiada tanah dan memang tidak mampu menyewa rumah menyebabkan kami terpaksa memberanikan diri tinggal di dalam ladang sawit ini,” katanya.

Sementara itu, Penggerak Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga itu selain turut mendaftarkan anak-anaknya di bawah Anak Prihatin Thirdforce.

“Kami akan memberi sumbangan baju raya serta membantu sebaik mungkin supaya nasib mereka ini terbela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 12:09 PM